Friday 9 December 2011

MODEL KONSEP KURIKULUM

Model Konseptual Kurikulum


Penerangan Modul Kebangsaan Konseptual Kurikulum Prasekolah

Kurikulum Prasekolah Kebangsaan ini digubal berasaskan empat prinsip utama iaitu :

i. Perkembangan diri secara menyeluruh dan bersepadu memberi fokus kepada penyuburan potensi individu yang menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.  Potensi murid hendaklah dikembangkan secara bersepadu kerana setiap aspek perkembangan saling mempengaruhi antara satu sama lain.  Individu yang seimbang dan harmonis memiliki :
  •  Kepercayaan kepada Tuhan
  •  Ilmu pengetahuan
  •        Kemahiran asas
  •  Akhlak mulia
  •  Emosi yang stabil
  •  Kesihatan dan kecergasan


ii. Pembelajaran yang menggembirakan memberi penekanan kepada minat dan bersemangat untuk belajar.  Semangat ini akan dapat dipupuk melalui suasana dan persekitaran pembelajaran yang menarik, selesa, mencabar dan menggembirakan.  Suasana yang kondusif untuk belajar dengan sendirinya memupuk semangat cintakan ilmu pengetahuan yang akan menjadikan seseorang itu berfikiran luas dan terbuka.

iii. Pengalaman pembelajaran yang bermakna member penekanan kepada penglibatan murid secara aktif dalam aktiviti sebenar supaya mereka dapat mengaitkan pembelajaran dengan pengalaman kehidupan seharian. Usaha ini akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan dan bermakna.

iv. Pendidikan sepanjang hayat adalah suatu usaha yang berterusan untuk pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai murni dan kemahiran. Pendidikan prasekolah yang menggembirakan dan bermakna akan dapat mengekalkan minat untuk terus belajar dalam diri seseorang sejak kecil hingga ke akhir hayat. Perkembangan murid akan dicapai melalui enam komponen pembelajaran yang dilaksanakan secara bersepadu.  Komponen tersebut adalah seperti berikut :

  • Bahasa dan Komunikasi;
  • Perkembangan Kognitif;
  • Kerohanian dan Moral;
  • Perkembangan Sosioemosi;
  • Perkembangan Fizikal; dan
  • Kreativiti dan Estetika.


Penekanan diberi kepada bahasa yang merentas semua komponen kerana penguasaan bahasa penting dalam proses pembelajaran. Penguasaan kemahiran bahasa diperolehi melalui kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.  Kecekapan berbahasa akan membantu murid berfikir, memahami sesuatu konsep, berimaginasi, melahirkan idea, berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan.

Pelaksanaan kurikulum adalah secara bersepadu yang dirancang melalui Amalan  yang bersesuaian dengan perkembangan murid  (ABP).  Amalan yang bersesuaian dengan Perkembangan Murid adalah satu pendekatan yang menekankan kepada penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan umur, perkembangan diri, kebolehan, bakat serta minat murid.

Pendekatan kurikulum berfokus kepada hasil pembelajaran (outcome-based learning) iaitu memberi penekanan kepada apa yang murid perlu tahu, faham dan buat serta amalkan, hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran.  Ini bermakna aktiviti pembelajaran memberi penekanan kepada apa yang harus  diperolehi dan dicapai oleh murid itu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel dan bersepadu, murid  dapat menguasai dan memperolehi ciri-ciri berikut:

  •   Kecekapan berbahasa dan berkomunikasi;
  •   Kemahiran berfikir;
  •   Berakhlak mulia dan beretika;
  •   Berkeyakinan dan berdisiplin;
  •   Sihat dan cergas; dan Imaginatif, kreatif dan ekspresif.
Berbekalkan kecekapan dan kemahiran di atas, murid sudah bersedia untuk ke sekolah rendah.


Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

No comments:

Post a Comment